KUALA LUMPUR: Bekas pengarah Jabatan Arkitek dan Projek Khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan rasuah, Hasan Hamzah, 57, dari Subang Jaya didakwa menerima sejumlah RM63,432 daripada Azmi Omar, kontraktor utama, Projek Cadangan Pembangunan Kompleks Pasar, di Seksyen 100, Jalan Datuk Keramat, Kampung Datuk Keramat di sini.

Hasan dituduh menerima RM5,000, RM15,000 dan RM43,432 daripada Azmi di Syarikat Cahaya Automotif Sdn Bhd, Taman Desa Aman, Cheras antara 15 Mei 2002 dan 27 September 2002.

Dia didakwa menerima wang itu berhubung dengan tugasnya sebagai penguasa utama projek pada ketika itu dan wang berkenaan digunakan sebagai sebahagian pembayaran kereta Mercedes Benz E 200A.

Hasan juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memiliki RM15,000 dalam akaun Bank Bumiputra Commerce Berhad cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram pada 10 November, 2004.

Bagi pertuduhan rasuah, dia didakwa mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim SM Gomathi membenarkan Hasan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan rasuah dan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan menerima hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Bagi pertuduhan rasuah, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohamad Nazri manakala pendakwaan bagi pertuduhan menerima hasil aktiviti pengubahan wang haram dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed.

Terdahulu, Budiman meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanan Hasan diserahkan kepada mahkamah manakala Nazlyza meminta mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Hasan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana beliau kini hanya bergantung kepada wang pencennya.


Sumber : Bernama

0 comments